Masjid RM9.5 juta ikon pembangunan Daro, hadiah kerajaan untuk rakyat

DARO: Usaha membina dan menaik taraf masjid serta surau membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, langkah proaktif itu memastikan masyarakat Islam beribadah dalam keadaan lebih selamat dan selasa.

Katanya, usaha tersebut termasuk menaik taraf masjid dan surau menjadi institusi yang lebih menarik dan berwajah moden.

“Struktur pembinaan masjid dan surau dibina secara khusus selain menyediakan pelbagai kemudahan kepada umat Islam untuk melaksanakan aktiviti yang bermanfaat untuk pembangunan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri pada Majlis Pecah Tanah Masjid Daerah Daro dan Perasmian Pesta Daro 2019, hari ini.

Menyentuh mengenai masjid baharu Daro, Abdul Rahman berkata, projek yang bernilai RM9.5 juta itu bakal menjadi salah satu lagi ikon pembangunan daerah yang terkenal dengan ikan terubok itu.

“Masjid ini merupakan salah satu masjid mempunyai rekabentuk yang cukup menarik. Saya percaya apabila siap sepenuhnya kelak, ia bakal menjadi salah satu lagi kebanggaan penduduk Daro,” katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N 43 Daro, Safiee Ahmad dalam ucapan aluannya berkata, pembinaan masjid baharu dalam tempoh 24 bulan merupakan satu lagi ‘hadiah’ kerajaan Sarawak kepada rakyat Daro.

“Permohonan ke atas masjid ini diajukan saya kepada Ketua Menteri ketika beliau menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat daerah Daro pada 16 Julai 2017 dan kita amat bersyukur, impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie.