Utamakan keperluan rakyat – Rubiah

KOTA SAMARAHAN: Pemimpin perlu mencari jalan penyelesaian dalam memenuhi keperluan rakyat bukannya terus memberikan alasan untuk mengelak dari menunaikan tanggungjawab, kata Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.
“Saya tahu waktu ini kita menghadapi kesukaran untuk mendapatkan peruntukan daripada pelbagai pihak terutamanya Kerajaan Persekutuan. Namun, saya tidak boleh berhenti setakat itu sebaliknya harus mencari apa jua ruang yang ada bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi,” katanya kepada wakil-wakil persatuan di sini, hari ini.

Rubiah menyampaikan sumbangan kepada persatuan-persatuan di pejabatnya, di sini.
Sebelum itu, beliau bersama pemimpin setempat melawat tapak projek tanaman fertigasi yang bakal diperluaskan di Kota Samarahan bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Rubiah berasa kesal dengan sikap Kerajaan Persekutuan pada hari ini kerana asyik berterusan mencari alasan dalam soal-soal kebajikan rakyat walaupun kebanyakan yang diminta oleh rakyat itu merupakan janji-janji yang dilaungkan oleh mereka semasa dan sebelum pilihan raya.

Tambah beliau, seharusnya kerajaan baharu hari ini perlu mencari lebih banyak jalan penyelesaian demi memakmurkan rakyat jelata dan bukannya terperangkap dengan masa silam dan terus menerus menyalahkan kerajaan lampau.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak yang banyak mengambil alih peranan dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan termasuk meneruskan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan namun ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan sekarang.