GPS sambut baik penubuhan PSC – Fadillah

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik pengumuman Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Liew Vui Keong, berhubung penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada masa sama GPS juga gembira dan menyambut baik persetujuan Datuk Liew Vui Keong untuk berjumpa Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai usul pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu.

“Ini membuktikan keikhlasan Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam meneruskan rundingan berhubung perkara itu, seterusnya mengembalikan hak-hak dan keistimewaan Sarawak yang telah lama terhakis,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut Fadillah, penubuhan PSC berkenaan juga selari dengan cadangan GPS supaya jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan bagi membincangkan lebih lanjut mengenai cadangan pindaan itu, seperti disuarakan Ahli-Ahli Parlimen GPS di Dewan Rakyat.

“Kita berterimakasih kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap dengan penubuhan jawatankuasa itu, isu pindaan itu dapat dibincangkan secara terperinci dan lebih menyeluruh, sebelum dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat,” katanya.