Lawatan tapak baik pulih rumah kawasan N.8 Satok

KUCHING: Penerima projek kecil luar bandar – Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS), Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.8 Satok melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PBB khususnya di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas keprihatinan membantu golongan miskin.

Penerima terbabit terdiri daripada golongan kurang mampu yang mana beberapa bahagian rumah mereka dalam keadaan kurang baik dan perlu dibaik pulih dengan segera.

Mereka ialah penerima dari Kampung Nombor 3, Kampung Nombor 5, Kampung Nombor 6, Kudei Lama dan Iban Duyun adalah sebahagian daripada lawatan tapak untuk baik pulih rumah kawasan N.8 Satok pada ini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Penghulu Kampung Nombor 5 dan Kampung Nombor 6, Mustapha Wahab, Ketua Kaum dan Ketua Ranting PBB Kampung Nombor 5, Shamsuri Epoh, Ketua Wanita PBB Ranting Kampung Nombor 5, Salbiah Muhi dan wakil konsultan untuk projek tersebut.

Menurut Mustapha Wahab, projek baik pulih itu bertujuan membantu golongan miskin yang fizikal rumah mereka dalam keadaan uzur.

Pada lawatan itu katanya, pihaknya mendapati beberapa bumbung rumah penerima mesti diganti dengan seberapa segera selain lantai, pintu dan dinding tanpa menjejaskan struktur rumah asal.

Sehubungan itu, beliau meminta penerima terbabit agar bersabar kerana projek itu akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, projek baik pulih di kampung berkenaan merupakan fasa pertama dan fasa seterusnya akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Oleh itu, saya mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan Ketua Menteri atas bantuan ini demi meringankan beban rakyat miskin,” katanya.