Penduduk belum terima projek RTP perlu bersabar

MATU: Penduduk di kawasan Parlimen P.207 Igan yang belum menerima Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diminta bersabar kerana setiap kampung pasti ada projek untuk dilaksanakan.

Ahli Parlimennya, Ahmad Johnie Zawawi berkata, bagaimanapun projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tahun ini.

Menurutnya, sejumlah RM4.48 juta diperuntukkan untuk projek RTP di kampung-kampung kawasan parlimen itu, untuk tahun 2018 dan 2019.

Antara projek yang dilaksanakan ialah bina baharu jeti belian, bina baharu tempat parkir, bina baharu padang futsal, bina baharu dewan serbaguna di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian, membina dan menyiap gelanggang rakyat di pekan Matu, menurap kawasan Klinik Kesihatan Kuala Matu.

Antara kampung-kampung dilawati Ahli Parlimen termasuk Kampung Tian, Kampung Sekaan Kechil, Kampung Bawang, Kampung Jemoreng, pekan Matu, pasar lama Matu, Kampung Bertong, Kampung Halud dan Kampung Kuala Matu Hulu.

Tujuan lawatan untuk melihat dan meninjau status dan spesifikasi projek-projek yang dilaksanakan oleh kontraktor.

“Projek yang dilaksanakan itu untuk memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Turut serta dalam lawatan projek untuk tahun 2018 dan 2019 bagi kawasan Parlimen itu ialah Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad dan pegawai-pegawai daripada agensi pelaksana seperti JKR, DID dan MDMD dan ketua-ketua kaum.

Lawatan itu bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang dalam keadaan cuaca tidak menentu.