S’wak bantah penempatan semula Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah, Swak ke KK

KUCHING: Kerajaan Sarawak membantah sekeras-kerasnya penempatan semula Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ke Kota Kinabalu berkuatkuasa Mei ini, kerana tidak mematuhi dan mengikuti undang-undang.

Kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada petang ini, memberitahu tiada rundingan diadakan antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak mengenai perkara berkenaan sebagai mandatori tertakluk di bawah Perkara 121 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Sungguhpun Kerajaan Sarawak menerima ketetapan bahawa keputusan akhir mengenai perkara itu terletak di bawah kuasa Yang DiPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, adalah penting proses perundangan perlembagaan perlu dipatuhi, kata kenyataan itu lagi.
Tindakan tidak mengikut undang-undang, jika tidak diteliti, pada masa depan mungkin mempunyai salah anggapan mengenai hak Sarawak di bawah perlembagaan.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kiong dalam kenyataan akhbarnya menyatakan Ibu Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sarawak dan Sabah akan dipindah ke Kota Kinabalu mulai awal Mei ini.
Keputusan untuk memindahkan ibu pejabat berkenaan ke Kota Kinabalu oleh Putrajaya mengejutkan banyak pihak.