Projek RTP Parlimen Igan menepati spesifikasi – Ahmad Johnie

MATU: Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi berpuas hati dengan pelaksanaan projek transformasi luar bandar (RTP) kerana menepati spesifikasi projek.
Keyakinan itu hasil lawatan dan tinjauan status projek RTP di bawah Parlimen Igan oleh Ahmad Johnie sejak semalam dan hari ini.
“Saya berpuas hati dengan status projek RTP di kawasan Parlimen ini,” katanya.
Di antara tempat yang beliau kunjungi ialah Kampung Tengah, Kampung Hilir Kebuaw Matu, Rumah Lebong Batang Igan, Rumah Diana, Rumah Lang, Rumah Raya, Rumah Jarit, Rumah Mission, Kampung Igan dan Pejabat Daerah Kecil Igan.
Antara projek yang dilaksanakan termasuk bina baharu jeti belian, bina baharu pontoon, bina baharu dan naik taraf jalan-jalan di dalam Kampung Igan dan jalan-jalan Tanah Perkuburan Igan.
Lawatan bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang pada hari ini merentasi sungai menuju ke rumah-rumah panjang.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad serta wakil agensi pelaksana seperti DID, JKR dan MDMD serta ketua-ketua masyarakat dan tuai-tuai rumah.