Ekonomi Sarawak terus berkembang, politik stabil – Tun Taib

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud gembira ekonomi negeri Sarawak terus berkembang dalam persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu.
Menurutnya, Sarawak masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif pada kadar 4.6 peratus bagi tahun 2018.
“Saya percaya kestabilan politik negeri Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mewujudkan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan ekonomi mapan,” katanya dalam ucapan perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 di Dataran Perbarisan Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Menurut Tun Taib, pertumbuhan positif ini juga disokong oleh asas-asas ekonomi yang kukuh, tadbir urus yang baik dan pengurusan kewangan mantap.
Ini terbukti melalui pengiktirafan berterusan kedudukan kredit terbaik oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, katanya.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang positif telah membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk rakyat di negeri ini. 
“Saya menggesa kepada semua pihak termasuk pihak swasta supaya terus berganding bahu untuk membangunkan ekonomi negeri ini,” katanya.
Perasmian itu turut dihadiri isteri Tun Pehin Sri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.