Pameran Kereta Sarawak Plaza tarik ramai pengunjung

KUCHING: Sarawak Plaza Autoshow (Pameran Kereta) 2019 Vol.1 yang berlangsung di Aras 4 Tempat Letak Kereta Kompleks Sarawak Plaza hari ini berjaya menarik penyertaan 46 peserta.

Pameran berkenaan disertai 35 pemilik kereta yang bersaing dalam 11 kategori dan 12 pemilik motosikal bersaing dalam 8 kategori.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pemenang dan kepada peserta yang tidak memenangi sebarang hadiah beliau turut mengucapkan syabas atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan.

Salah seorang pemenang tempat pertama bagi kategori khas yang dipertandingkan, Zulmazdi Jemain, 38, berkata beliau telah menghabiskan lebih RM10,000 untuk mengubahsuai dan menghias kereta Viva miliknya.

“Saya melakukannya kerana minat sejak lapan tahun lalu dan saya akan mengubah warna dan aksesori kenderaan dalam setiap pertandingan” katanya yang berasal dari Pendam.

Pameran berkenaan dianjurkan Sarawak Plaza dengan kerjasama Kelab Sukan Permotoran DCS Petra Jaya.