Suara rakyat kawasan Parlimen Igan tetap diutama – Ahmad Johnie

SIBU: Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi memberi jaminan bahawa pembangunan di rumah panjang dan kampung-kampung di kawasan Parlimen Igan tidak diabaikan untuk menikmati Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Menurutnya, pembangunan itu tetap diutamakan dan pasti disuarakan pada setiap kali persidangan Dewan Rakyat.

“Namun, saya meminta penduduk di kawasan Parlimen ini agar bersabar dan pelaksananaan projek akan dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya semasa perasmian ‘Pendampingan Komuniti Sosial’ Daerah Sibu dan perasmian Projek Naik Taraf Jalan di Rumah Bayang Dollah, Sungai Lengan di sini, hari ini.

Perasmian itu dilakukan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.
Program itu dianjurkan Pejabat Daerah Sibu dan disertai agensi kerajaan lain termasuk Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Sibu, Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah Sibu, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya, beliau dan Safiee sentiasa berbincang berhubung peruntukan daripada kerajaan Sarawak dapat disalurkan di Daro dan Jemoreng.

Sementara itu, Safiee dalam ucapannya memberitahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan sebanyak RM2.99 juta untuk pembangunan di kawasan Sungai Lengan sejak 2016 hingga sekarang.

Kebanyakan peruntukan itu untuk projek infrastruktur awam termasuk jalan, jeti, dewan dan sebagainya.

Safiee memberitahu, setiap tahun kawasan DUN Daro mempunyai peruntukan sebanyak RM5 juta.