Kopi O Corner saji menu istimewa bufet Ramadan

KUCHING: Seperti restoran dan cafe lain di bandar raya ini, restoran Kopi O Corner turut menawarkan promosi bufet Ramadan dengan harga istimewa.

Menariknya, bufet Ramadan Kopi O Corner kali ini tampil dengan beberapa menu sedap dan menyelerakan yang pasti menarik perhatian untuk berbuka puasa.
Menurut pemiliknya, Datin Norlia Fadil, 
Kopi O Corner menawarkan bufet Ramadan pada tahun ini dengan cuba membawa kelainan dalam penyajian pakej bufet berbuka puasa berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.
Bertemakan Masakan Kampung Melayu dan Indonesia”, Kopi O Corner menawarkan lebih 40 jenis hidangan setiap hari yang berbeza terdiri daripada ruangan pembuka selera seperti ayam, daging, sayur-sayuran, bubur pedas, minuman panas dan sejuk serta pencuci mulut kepada pelanggan.
Antara menu yang pasti ‘menggamit’ selera pengunjung ialah ikan asam jawa, daging gril air asam jawa, bubur pedas, sambal minyak panas dan sambal dabu-dabu merupakan masakan Indonesia, sup tulang, ikan bakar, linut dan ikan sambal kedondong, tahai Limbang dan ikan masak rebus Bintulu.
Ditawarkan dengan harga RM33 seorang untuk dewasa manakala RM15 bagi kanak-kanak, harga ini amat sesuai dengan pelbagai jenis pilihan makanan.
Menurutnya, masa operasi untuk bufet Ramadan mulai jam 6 petang hingga 8.30 malam.
“Selepas itu, disusuli dengan menu ala carte sehingga tengah malam,” katanya.
Katanya, antara menu ala carte yang popular ialah set nasi kambing masak kari mensia berharga RM15, ayam rosmary (RM12) dan set nasi daging kurma Pak Fadil (RM14).
Menurutnya, tempahan kini sudah dibuka dan boleh datang ke restoran Kopi O Corner atau hubungi 017-8504834.
Kopi O Corner turut menyediakan bilik menunaikan solat.