Kajian pelaksanaan LRT diterus

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak akan meneruskan kajian teknikal terperinci mengenai pelaksanaan Fasa Satu Transit Aliran Ringan (LTR) di kawasan paling sesak di Kuching dan Samarahan menggunakan teknologi paling sesuai.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak memutus untuk meneruskan pelaksanaan LRT itu setelah beliau menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai kesesakan lalulintas di jalan raya Kuching-Samarahan.

“Jalan raya Kuching-Samarahan dibina sebagai jalan alternatif dan mengurangkan kesesakan lalulintas di jalan Kuching-Penrissen-Muara Tuang,” katanya semasa menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sekarang, katanya, jalan raya Kuching-Samarahan turut mengalami kesesakan lalulintas terutama pada waktu puncak.

“Saya banyak menerima aduan daripada pengguna menyatakan rasa kecewa mereka kerana terlalu lama berada di jalan raya disebabkan kesesakan lalulintas,” katanya.

Berdasarkan kajian dijalankan, katanya, tiada negara di dunia ini dapat mengatasi kesesakan lalulintas hanya dengan membina lebih banyak jalan raya. “Lebih banyak jalan raya kita bina, bermakna lebih banyak kenderaan di atas jalan raya. Malah menggunakan bas turut terperangkap dalam kesesakan”.