Usaha membangunkan Sarawak jangan dipolitikkan – Abg Johari

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan besar untuk membangunkan kemudahan asas untuk dinikmati rakyat merupakan satu tanggungjawab dan tidak harus dipolitikkan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, semua projek pembangunan yang dilaksanakan itu adalah projek bersifat untuk kepentingan rakyat yang kerajaan percaya akan memberi impak kepada corak hidup mereka.

“Perancangan projek pembangunan itu membabitkan pendekatan peringkat bawahan berdasarkan permintaan dan keperluan rakyat itu sendiri,” katanya semasa menggulung perbahasan pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-18 di sini hari ini.

Abang Johari berkata, sejurus semua projek kemudahan asas itu siap, rakyat akan menikmati bekalan air bersih, bekalan elektrik 24 jam, jalan raya dan hubungan internet yang lebih baik.

“Kita yakin, apabila semua projek pembangunan kemudahan asas itu siap, taraf hidup rakyat akan meningkat, mewujud peluang pekerjaan untuk penduduk setempat dan menggerakkan kegiatan ekonomi domestik,” katanya.

Selain itu, kata Ketua Menteri, ia akan turut menyokong pertumbuhan industri tempatan, membuka tanah untuk pertanian dan pembangunan hartanah, menyedia rangkaian pengangkutan yang lebih cekap dan murah sekali gus merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, setakat ini projek-projek pembangunan kemudahan asas itu dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri. Projek-projek pembangunan kemudahan asas yang dilaksanakan itu ialah projek rakyat, projek transformasi luar bandar, rangkaian jalan raya pesisir, jalan raya utama kedua, program grid bekalan air Sarawak, pelan induk bekalan elektrik luar bandar dan projek menara telekomunikasi.

Pembangunan infrastruktur amat penting untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan menyatukan ekonomi negeri ini dengan negara-negara lain, katanya sambil menambah, pelaksanaan pembangunan infrastruktur itu perlu dipercepatkan.

Untuk kepentingan rakyat dan Sarawak, katanya, projek seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik dan telekomunikasi perlu disegerakan.

Kerajaan Sarawak memerlukan kira-kira RM154 bilion untuk membiayai kos pembinaan kemudahan infrastruktur itu dalam tempoh 11 tahun akan datang sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang taun 2030.

Menurut Ketua Menteri, sejak sekian lama Sarawak bergantung peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk tujuan pembangunan dan dari tahun 1963 hingga kini, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan berjumlah RM79 bilion untuk pembangunan di Sarawak.

Bagaimananpun, katanya, peruntukan yang diluluskan mula menurun sejak dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Sarawak tidak boleh terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapat peruntukan pembangunan setelah mengambilkira senario politik sekarang.