Pembatalan sambutan Gawai di Sg Buluh tidak ada kaitan dengan pemimpin GPS, kesal – Nancy

KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengarahkan tuai rumah, Sili Bunsi membatalkan sambutan Gawai di rumah panjang Kampung Sungai Buluh, Sadong Jaya pada 31 Mei ini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini, Nancy berkata, pemimpin GPS tidak pernah berbuat demikian dan ia tidak benar sama sekali.
Katanya, beliau hanya mengetahui berita pembatalan itu apabila dihubungi oleh tuai rumah berhubung pembatalan program itu.
Beliau berkata tuduhan yang dibuat oleh Joseph Tawie dalam Facebook pada 10 Mei lalu yang mendakwa kerajaan GPS bertanggungjawab berhubung pembatalan melibatkan menteri daripada Kerajaan Persekutuan adalah tidak benar sama sekali.
Menurut Nancy, keputusan pembatalan program itu dilakukan oleh tuai rumah dan penduduk rumah panjang itu sendiri.
“Ia langsung tiada kaitan dengan pemimpin Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Sungai Buluh, Sili Bunsi dalam sidang media sama berkata, keputusan menolak sambutan Gawai di rumah panjang itu tiada kaitan langsung dengan wakil rakyat dan bukan dipaksa oleh mana-mana pemimpin GPS.
Sebaliknya, katanya keputusan itu diambil setelah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dan penduduk di rumah panjang.
“Saya tegaskan di sini, bahawa kami tidak dipaksa atau diarah oleh mana-mana pemimpin GPS untuk membatalkan sambutan Gawai yang dicadang diadakan pada 31 Mei ini, bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya dengan nada kesal.