S’wak negeri pertama tandatangani IBR dengan SPRM – Fadillah

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memandang serius isu rasuah dan salah guna kuasa serta menyokong sebarang usaha ke arah membanterasnya hingga ke peringkat akar umbi.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS)merangkap Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, malah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sebenarnya sudah mengarahkan semua Ahli-Ahli Parlimen GPS supaya turut mengisytiharkan harta.

Katanya, kini kerajaan Sarawak masih menunggu format yang ditetapkan Pusat Governas Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan semua pengisytiharan yang dikemukakan ke Pejabat Ketua Menteri Sarawak termasuk oleh Ahli-Ahli Parlimen GPS akan dihantar sekaligus kelak.

Beliau berkata demikian sebagai respon susulan cadangan mengenai GIACC seperti diumum Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

GIACC menyarankan semua Menteri, Timbalan Menteri dan anggota pentadbiran kementerian supaya mengisytiharkan harta kepada SPRM dan dipanjangkan kepada semua anggota parlimen pembangkang.

Fadillah berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.
Fadillah berkata, kerajaan Sarawak adalah kerajaan negeri pertama yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM pada Januari 2017, justeru ia menyambut baik saranan Perdana Menteri itu.

Menurutnya, Sarawak sudah pun bergerak ke arah itu dan beliau secara peribadi memandang serius malah ketika dilantik menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 2013 dahulu pun langkah pertama beliau ambil sebaik dilantik ialah menandatangani Memorandum Persefahaman ke Arah Pembanterasan Rasuah dengan SPRM.

“MoU antara KKR dan SPRM ditandatangani pada 1 Julai 2013, menjadikan KKR kementerian pertama di negara ini menandatangani perjanjian ‘Integrity Pact’ dengan SPRM,” katanya.