Kerajaan Sarawak tumpu ekonomi berteras Revolusi Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi tumpuan kepada masa depan negeri itu yang memberi penekanan ekonomi berteraskan Revolusi Industri 4.0.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dalam hal kerajaan menggunakan teknologi serta membuka kawasan-kawasan di negeri Sarawak bagi menyediakan peluang pekerjaan.
Oleh itu katanya, selari dengan perubahan semasa, peluang pekerjaan di Sarawak akan mengambil kira disiplin baharu yang diwujudkan di universiti-universiti yang sedia ada.
“Ia selari dengan kursus yang diambil pelajar Sarawak di pelbagai pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Juh Sungkey Ngan CM Abg Jo Bersama Anak Sarawak anjuran Yayasan Sarawak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Acara tahunan itu dihadiri anak-anak Sarawak yang menuntut di pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur.
Untuk rekod, lebih 10,000 anak Sarawak menuntut di Semenanjung dan Sabah.