Pastikan GPS pilihan rakyat – Uggah

SPAOH: Jika sebelum ini slogan ‘Politik Pembangunan’ digunakan untuk membawa pembangunan negeri Sarawak, kini ‘Utamakan Sarawak’ dilihat amat sesuai digunakan sejajar dengan perubahan semasa.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini bermakna Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bergerak lebih dinamik selari dengan perubahan politik sekarang agar ia menjadi pilihan utama rakyat.
“Malah, slogan ini memberi kekuatan kepada GPS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang.
“Harus ingat, cabaran politik sekarang sudah berubah, lantas slogan juga berubah untuk meraih undi rakyat,” katanya semasa Perjumpaan Pemimpin Akar Umbi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban di Rumah Francis Nyanggau Penom.
Sehubungan itu, Uggah mengingatkan rakyat bahawa Pakatan Harapan (PH) turut menggunakan slogan pembangunan untuk menarik perhatian rakyat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg katanya, mempunyai pendekatan dan strategi sendiri untuk membangunkan Sarawak dan sebagai ‘kapten’ beliau mengambil keputusan tidak menyertai PH.